Bacaan Popular

Jumaat, 2 Disember 2016

Ketakutan

 
 Gambar sekadar hiasan sahaja.
 
Ketakutan kita sebenarnya berada pada landasan yang salah, yakni kepada kehidupan kita didunia ini, walhal ketakutan yang sepatutnya kita berikan adalah ketakutan kepada kematian. Biasanya kita akan jaga makanan kita dan keluarga kita agar makanan itu dapat menyihatkan kehidupan kita. Perkara-perkara yang kecil pun kita ambil berat sehingga cecair untuk membersihkan tangan sebelum dan selepas makan pun menjadi penelitian yang penuh sebelum membelinya.

Sebab kefahaman kita jika tersalah pilih jenama cecair pencuci tangan akan menyebabkan kuman-kuman diluar rumah akan menjadi punca anak kita dan keluarga kita mengalami sakit. Untuk itulah kita menumpukan kebersihan dalam menjalani kehidupan agar keluarga kita sentiasa sihat.

Makanan-makanan dari pelbagai jenama juga perlu kita teliti agar tahap kesihatan kita meningkat dan terus terpelihara. Oleh kerana itu kita telah berhabisan wang ringgit yang banyak untuk menjamin hidup tanpa sakit. Tersalah makan bahan yang mempunyai banyak glugos boleh menyebabkan kita kena kencing manis, tersalah makan bahan yang mempunyai banyak lemak menyebabkan darah pekat dan bila darah pekat jantung susah hendak mengepam lalu jantung mempunyai masalah.

Namun kesakitan ketika hendak mati disabdakan oleh Nabi s.a.w. umpama 3000 pedang yang dicucuk serentak kepada tubuh badan kita. Begitu hebatnya kesakitan hendak mati, Begitu juga kehidupan sesudah mati lebih dahsyat lagi. Inilah yang sepatutnya kita takutkan kepada Allah kerana Allah lah yang berkuasa keatas setiap sesuatu.

Nabi bagitau kepada kita barang siapa dapat menjaga solat suboh dan asar secara berjemaah (lelaki) maka diwajibkan syurga untuknya sebab solat untuk 2 waktu ini memang sukar untuk dilakukan secara berjemaah. Yang solat suboh kerana sejuk dan yang asar pulak waktu yang sangat sibuk, apalagi jika kita kaki berjaga malam.

Allah s.w.t. bersumpah dalam al Quran وَٱلۡعَصۡرِ    Demi waktu asar (ada pendapat menyatakan demi masa),  وَٱلضُّحَىٰ    demi waktu dhuha, waktu ini pun masih sibuk sehingga tiada masa untuk sunat dhuha, وَٱلۡفَجۡرِ    demi waktu fajar, inilah masa paling sibuk dan ramai yang tidak sibuk namun masih ditempat tidur,  وَٱلَّيۡلِ إِذَا يَسۡرِ    demi waktu malam apabila ia berlalu, kerana waktu-waktu inilah manusia sibuk dan lalai dari mengingati Allah. Beruntunglah orang-orang mukmin yang dapat menjaga solat mereka dengan khusyuk serta mengeluarkan zakat.

Penumpuan kita sepatutnya kita berikan kepada saat kematian kita. Kita harus usahakan agar kita dan seluruh keluarga kita dapat memasuki kubur dalam keadaan yang tanah kubur redha dan  paramalaikat pun redha serta Allah s.w.t. juga redha keatas kita. Jika itulah yang kita usahakan dengan teliti sehingga setiap perkara-perkara yang kecil dapat kita perhatikan pastilah 40 ribu tahun untuk berada dalam kubur itu suatu masa yang singkat. Apalagi kehidupan selepas sangkakala kedua ditiup oleh Malaikat Izrafel dimana perjalanan mahsyar yang dikatakan akan memakan masa selama 50 ribu tahun pasti menjadi singkat dan tidak susah.

Sebenarnya Allah ta'ala kasih kepada kesemua makhlukNya dan tidak hendak satu makhluk pun mendapat kesusahan baik didunia, didalam kubur maupun di Padang Mahsyar lebih-lebih lagi untuk masuk kedalam neraka. Sebab itu Allah ta'ala hantar begitu banyak Para Nabi a.s. dan untuk kita Allah hantar Nabi yang paling hebat yakni Muhammad s.a.w. untuk memberi peringatan kepada kita.

Kewafatan Nabi s.a.w. meninggalkan untuk kita senaskhah al Quran dan berates-ribu hadith. Semua ini adalah untuk kita jadikan panduan dan pedoman. Dalam al Quran sendiri Allah memberi peringatan serta pengetahuan untuk apa kita ini dikembang biakkan dan untuk apa kita dihidupkan diatas muka bumi ini.

Untuk mereka yang takut kepada kematian dan kehidupan selepas kematian Allah janjikan syurga, yakni tempat kediaman yang sangat-sangat nikmat. Sebagaimana kita semua tahu bahawa Malaikat tidak mempunyai nafsu seperti kita. Kita ini ada nafsu untuk wanita, nafsu untuk makanan, nafsu untuk benda-benda yang cantik, nafsu untuk bunyi-bunyian yang menarik. Namun dikhabarkan oleh ulamak bahawa Malaikat yang tidak mempunyai nafsu pun amat tertarik dengan nikmat-nikmat yang Allah sediakan dalam syurga.

Ketakutan inilah yang sepatutnya berada dalam fikiran setiap kita. Ketakutan jika nama kita tiada dalam senarai mereka yang layak memasuki syurga. Ketakutan yang teramat sangat kerana kehidupan selepas kematian dihujungnya ialah syurga atau neraka. Inilah ketakutan yang besar.
.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan