Bacaan Popular

Jumaat, 30 September 2016

Syukur Nikmat

Gambar sekadar hisan sahaja.

Allah s.w.t. berfirman, 'Jika kamu bersyukur kepadaKu pasti Aku akan menambah nikmat kamu'. Cuma keyakinan kita yang mengganggu pemikiran kita. Jadi sebenarnya pemikiran kena menurut kepada keyakinan, yakin bahawa Allah Maha Kaya Maha Kuasa maka kita akan mendapat pemikiran yang betul.

Pemikiran yang betul itu pula terhasil apabila banyak bersujud. Dalam solat kita bersujud, dalam bacaan al Quran apabila tiba pada wakaf sujud tilawah maka kita bersujud dan dengan bersujud yang betul urat antara dua kening kita akan tertekan dan dikatakan pada urat itu menghantar kuasa berfikir dengan cara betul walaupun ada orang nampak kita tidak betul.

Janji Allah s.w.t. bukan main-main. Pulangan kepada setiap pelaburan dijalan agama teramat lumayan. Dalam hal zakat harta sahaja dijanjikan 1 biji benih akan dikeluarkan 7 tangkai dan setiap tangkai akan mengeluarkan 100 biji yang dengan 100 biji itu kemudian dapat dicambahkan lagi menjadi sehingga berbillion-billion. Apabila terlalu banyak maka nak mengiranya pun susah maka dengan kata mudah Malaikat Jibrail a.s. menyamakan dengan emas yang bertimbun sehingga menyamai tinggi dan besarnya Gunung Uhud di Madinah.

Jadi kita harus bersyukur kerana kita lahir dari perut seorang ibu yang beragama Islam. Lahir saja kita sudah di azankan atau diqamatkan. Sebenarnya jikalau Allah kehendaki kita lahir dari perut ibu bangsa Quraish dizaman sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. pun Allah boleh buat. Tapi oleh kasihkan kita maka kita ini Allah pilih untuk jadi umat Nabi Muhammad s.a.w. Mana-mana insan yang semasa hidup mereka didunia pernah mengucapkan kalimah 'Lailaha ilallah' lambat laun akan dimasukkan kedalam syurga Allah. Bayangkan betapa ruginya jikalau kita dilahirkan dari perut seorang ibu yang wujud dizaman Nabi Nuh a.s. sedang melakukan dakwah sedangkan dimas itu ibu dan ayah kita tidak mengakui kenabian Nuh a.s. Pasti kita dan ayah ibu kita kekal dalam neraka selama-lamanya.

Bagi menunjukkan rasa bersyukur itu kepada Allah maka ikhlaskanlah segala amal ibadah kita semata-mata kerana Allah walaupun pada permulaannya kita berbuat amal kerana manusia. Mungkin kerana mertua atau rakan-rakan atau kerana boss maka kita melakukan amal ibadah namun lama kelamaan kita akan dapat menguasai kehikhlasan kita kerana keikhlasan itu sesuatu perkara yang sangat sukar dipraktikkan kecuali dengan terus beristiqamah melakukannya. 

Istiqamah dalam amal ini seumpama apabila kita memandu kereta mewah yang baru kita beli. Apabila kita memandunya pada hari pertama atau hari kedua dan seterusnya minggu pertama atau minggu kedua atau bulan pertama dan bulan kedua pasti banyak mata yang tertumpu kepada kita dan kita pun akan sering mengangkat tangan kepada mereka yang memandang kita atau bila dah lenguh angkat tangan maka kita bunyikan hon sedikit tanda kita hurmat pada pandangan mereka. Apabila masa berlaku dan kereta kita sudah terbiasa dengan laluan itu dan mata mereka juga sudah terbiasa dengan laluan kita maka dikala itu tiada lagi perasaan kita ada orang yang memerhati. 

Dengan kata ringkas kereta buruk itu sudah tiada sesiapa mahu melihatnya walaupun jenamanya dibarisan teratas. Waktu itu nak buat amalan yang tinggi setinggi para solehin dah tak jadi masalah sebab mata yang hendak melihat kita sudah taknak melihat lagi sebab dah bertahun-tahun perkara yang sama berlaku. Inilah istiqamah namanya dan kita berjaya melakukan dengan ikhlas.

Alahaiiii... sama macam waktu kita belajar bawa basikal dulu berapa kali kita jatuh dan setiap kali kita jatuh kita akan lihat ada atau tidak sesiapa yang nampak kita jatuh. Pasti ada yang nampak sebab mata memerhati kita sebagai kekanak yang baru nak belajar. Kita yang sudah dewasa ini pun janganlah memandang pada yang jatuh itu, kita pura-pura tidak nampak. Namun jikalau kita terus memerhatikan anak yang jatuh itu pasti sebentar lagi dia menangis. Sebaliknya jika kita buat-buat tak nampak dia akan bangun tanpa menangis dan meneruskan kayuhan. Begitulah juganya dengan amal yang kita lalukan untuk mendapatkan ikhlas, jangan kisah ada orang lihat atau tidak lama-kelamaan pasti kita akan mendapat keikhlasan itu. Inilah perkara yang termahal.

Apabila keikhlasan sudah dapat dicapai maka sepanjang hidup kita kena bersyukur kerana kita sudah boleh buat amal ibadah secara ikhlas. Jikalau rasa belum cukup ikhlas kita boleh semak diri kita sendiri. Mula-mula kita cek adakah sebelum kita buat amalan itu kita ikhlas, kemudian semasa kita sedang melaksanakan amalan itu kita cek sekali lagi adakah masih ikhlas dan akhirnya setelah selesai amalan tersebut cek semula adakah ianya masih ikhlas.

Begitulah kita harus bersyukur maka Allah akan bantu kita untuk mencapai keikhlasan.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan